Wednesday, June 29, 2011

Lagi 200 peneroka saman Felda

Lagi 200 peneroka saman Felda

KUALA LUMPUR, 29 Jun 2011 : Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaaan (Anak), Mazlan Aliman hari ini mengumumkan kira-kira 200 peneroka akan menyaman agensi itu bulan hadapan.
Peneroka itu menurut Mazlan, adalah dari gugusan Felda Kerteh, Dungun dan akan memfailkan saman bagi menuntut Felda mengembalikan wang caruman tanaman semula sebanyak RM17,000 seorang, seperti dilaporkan FreeMalaysiaToday.
“Peguam kami sedang merangka proses untuk memfailkan saman tersebut,” kata Mazlan.
Menurutnya, kes saman itu adalah yang pertama dari gugusan Felda di Terengganu dan dijangkakan beberapa gugusan Felda lain akan turut menyaman Felda berhubung isu yang sama.
“Kita telah mengadakan pertemuan dengan Felda supaya membayar balik wang tersebut tetapi mereka mungkir janji. Saya yakin, peneroka akan menang dalam kes ini berdasarkan beberapa keputusan mahkamah yang lalu,” katanya.
Menurutnya lagi, berdasarkan keputusan mahkamah terbaru di Pahang dan Negeri Sembilan, mahkamah memberi kemenangan kepada pihak peneroka dan mereka dibayar sebanyak RM30,000 setiap seorang.
Beberapa saman terhadap Felda sebelum ini telah dimenangi oleh peneroka termasuk di Kelantan dan Negeri Sembilan.
facebook Comments

Saturday, June 25, 2011

Felda - Suatu Transformasi Perjuangan Melayu


FELDA - Fakta dan Sejarah

Pembangunan Awal FELDA

FELDA ditubuhkan pada tahun 1956, menjelang Merdeka. Dari detik permulaan secara kecil-kecilan organisasi ini telah berkembang menjadi suatu organisasi raksasa. Kini, rancangan-rancangan yang diselenggarakannya meliputi lebih daripada setengah juta hektar dan lebih daripada setengah juta orang mendapat manfaat dari FELDA yang terdiri daripada peneroka, pekerja FELDA dan pekerja kontrak serta keluarga masing-masing.

Sejak tahun 1960, FELDA yang ditubuhkan untuk pembangunan kawasan pendalaman yang lebih terpencil di negara ini, telah pula sendiri bertanggungjawab secara langsung dalam usaha pembangunan.

Kerajaan-kerajaan negeri menyerahkan segala hak ke atas tanah untuk diusahakan kepada FELDA yang seterusnya menjadi agensi yang bertanggungjawab memajukannya kepada suatu kawasan pembangunan yang intergrated sepenuhnya.

Pembukaan Awal

Pembangunan tanah di negeri Johor Darul Takzim bermula pada 1959 dengan mengambil alih rancangan Sungai Tiram dan Endau yang ditadbir oleh Kerajaan Negeri.

Sehingga tahun 1995, sebanyak 80 rancangan telah dibuka dengan keluasan 164,023 hektar; 79% ditanam sawit, 15% dengan getah dan 6% di bawah kawasan perkampungan.

Rancangan pertama yang dibuka ialah Rancangan Lurah Bilut yang ditanam dengan getah iaitu pada tahun 1958. Manakala Rancangan Taib Andak merupakan rancangan FELDA pertama ditanam dengan sawit iaitu pada tahun 1961.

Latar Belakang

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau lebih dikenali sebagai FELDA adalah sebuah agensi pembangunan tanah yang utama di Malaysia. FELDA telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956 hasil daripada syor Jawatankuasa Kerja Kerajaan.

Tujuan FELDA ditubuhkan pada masa itu adalah untuk membantu pihak kerajaan melaksanakan rancangan pembangunan kawasan pedalaman dan membantu meningkatkan status ekonomi serta taraf hidup masyarakat di kawasan luar bandar.

Pada asalnya, FELDA berfungsi sebagai sebuah lembaga yang menguruskan dan menyalurkan bantuan kewangan kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan rancangan pembangunan tanah di negeri masing-masing, selain daripada menyelaraskan pembangunan tanah di negeri berkenaan termasuk perpindahan penduduk antara negeri.

Kemudian fungsi FELDA telah diperluaskan oleh kerajaan dan mulai tahun 1961, FELDA telah diamanahkan oleh kerajaan untuk melaksanakan sendiri rancangan-rancangan pembangunan tanah dan pembangunan penempatan di seluruh negara.

Sehingga kini, FELDA telah membuka dan membangunkan lebih kurang 480 buah kawasan baru berjumlah seluas 853,313 hektar yang dijadikan sebagai kawasan pertanian, perladangan dan penempatan. Seramai 112,635 jumlah orang telah dipilih sebagai peneroka daripada kalangan masyarakat pedalaman dan luar bandar yang miskin dan tidak bertanah. Mereka dan keluarga mereka masing-masing semuanya telah ditempatkan semula di penempatan-penempatan baru.

Pembangunan tanah dan pembangunan penempatan di kawasan pedalaman, yang mana merupakan sebahagian besar daripada kawasan di Malaysia pada masa itu, telah membawa kepada perkembangan pembangunan ekonomi dan sosial serta membawa kepada kestabilan politik negara pada masa kini.

Melalui rancangan-rancangan pembangunan tanah dan penempatan yang dilaksanakan, FELDA telah dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar serta dapat merapatkan jurang perbezaan kualiti hidup antara penduduk bandar dan luar bandar.
facebook Comments

Thursday, June 23, 2011

Peneroka perlu bangkit, sedar penipuan BN – Suhaimi Said

Peneroka perlu bangkit, sedar penipuan BN – Suhaimi Said

Oleh: Nur Nabihah Hamid
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2011 : Pengarah Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, peneroka Felda perlu bangkit dan sedar tentang penipuan yang dilakukan kerajaan BN.
Ini kerana agensi kerajaan seperti Felda yang sepatutnya membela dan menjaga kepentingan peneroka, sebaliknya mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka selama ini.
Menurut Suhaimi, ketika rizab tunai Felda susut hampir RM3 bilion dalam tempoh lima tahun, agensi itu pula membuat pinjaman sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Peneroka berhak untuk tahu apakah tujuan pinjaman tersebut itu dilakukan. Adakah pinjaman ini akan digunakan untuk menutup kerugian pelaburan mereka (Felda) di luar negara?” ujarnya.
“Felda dikatakan mempunyai kewangan yang besar, aset juga banyak. Jadi apa keperluan untuk meminjam KWSP?” katanya ketika dihubungi keadilandaily.
Dalam masa yang sama, katanya, Felda pula melakukan penipuan dan penyelewengan seperti isu dana tanam semula dan penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit terhadap peneroka.
Disebabkan itu katanya, peneroka tidak mempunyai jalan lain untuk menuntut keadilan kecuali memfailkan saman terhadap pengurusan Felda.
“Kita perlu sedar kerana kita sering dimanipulasi. Banyak keraguan yang timbul terutamanya di pihak pengurusan Felda itu sendiri” kata beliau lagi.
Tahun lalu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana menteri, Datuk Ahmad Maslan yang bertanggungjawab terhadap Felda mengaku, rizab tunai agensi itu susut daripada lebih RM4 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.
Meskipun menafikan agensi itu mengalami kedudukan kewangan yang parah, Felda sehingga kini tidak memberi penjelasan tentang isu pinjaman KWSP sebanyak RM6 bilion dan kerugian pelaburan yang ditanggung di luar negara.
Felda juga kini berdepan ratusan saman daripada peneroka di seluruh negara berhubung penyelewengan yang dilakukan agensi itu.
Sebelum ini Felda disaman peneroka di Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.
Terbaru, seramai 711 peneroka Felda dari kawasan Jengka Pahang memfailkan saman sebanyak lebih RM344 juta terhadap Felda kerana melakukan penipuan.
facebook Comments

Friday, June 17, 2011

Dana Tanam Semula – Mengapa Felda masih enggan membayarnya?

Dana Tanam Semula – Mengapa Felda masih enggan membayarnya?

Suhaimi Said, 17 Jun 2011 :
Setiap peneroka Felda telah memikul tanggungjawab untuk menyediakan dana tanam semula dengan membayar RM4.00 setiap satu ekar melalui Felda sebagai dana tanam semula setiap bulan.
Kebanyakan peneroka Felda memiliki 10 ekar tanah ladang, ada juga yang memiliki 14 ekar dan sesetengahnya hanya memiliki 8 ekar. Bagi mereka yang memiliki 10 ekar, maka caruman mereka untuk dana tanam semula adalah RM40.00 sebulan dan apabila mereka membuat caruman itu melalui potongan pendapatan mereka, Felda menjanjikan akan mengembalikan semula RM17,000.00 apabila peneroka-peneroka mahu menanam semula.
Jika peneroka-peneroka itu memilih untuk menanam sendiri dan tidak melalui Felda, maka Felda hendaklah mengembalikan dana sejumlah RM17,000.00 itu kepada peneroka-peneroka. Dan jika sekiranya mereka menanam semula melalui Felda, Felda tidak mengembalikan dana itu digunakan untuk kos tanam semula.
Apa yang dilakukan oleh Felda terhadap dana itu jika peneroka-peneroka tanam melalui Felda tidaklah diketahui kerana Felda tidak pernah menyediakan Penyata Kira-Kira. Entahkan wang itu digunakan untuk kos tanam semula atau pun tidak hanyalah diketahui oleh Felda, dan peneroka-peneroka Felda tidak pernah diberitahu.
Tetapi Felda sudah cuba memanipulasikan dana itu kerana gagal mengembalikan dana tanam semula itu kepada peneroka-peneroka yang tanam sendiri. Tuntutan demi tuntutan secara rundingan telah dibuat oleh peneroka-peneroka tanam sendiri bagi mendapatkan kembali dana tanam semula itu tetapi tetapi tidak berjaya. Macam-macam kerenah yang dibuat oleh Felda untuk mengelak dari membayar dana tanam semula itu.
Didalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan, Mahkamah telah memerintahkan supaya Felda membayar kembali dana tanam semula itu kepada 10 orang Peneroka di Felda Sg Koyan, dan peneroka-peneroka lain yang tidak membuat tuntutan Mahkamah masih juga tidak dibayar oleh Felda.
Sekali lagi pada hari semalam Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda membayar kepada peneroka-peneroka Kemahang 1 dan 2 Kelantan sejumlah RM1.2 juta ringgit dari dana tanam semula ini.
Kini, peneroka-peneroka di rancangan-rancangan Felda di Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Pahang dan Negeri Perak sedang mengumpulkan senarai-senarai peneroka-peneroka yang terlibat menanam sendiri tetapi masih belum menerima bayaran dana tanam semula dari Felda.
Jalan yang terbaik bagi Felda ialah menjelaskan bayaran secepat mungkin kepada peneroka-peneroka yang terlibat menanam sendiri tetapi masih dinafikan dana tanam semula ini untuk mengelakkan Felda dari menanggung malu apabila Mahkamah-Mahkamah Tinggi di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak memerintahkan Felda membuat bayaran kepada peneroka-peneroka.
Felda tidak perlu bersikap babil, bebal dan cerdik-bodoh; peneroka-peneroka bukan menuntut perkara-perkara diluar hak mereka. Dana tanam semula adalah caruman yang dibuat oleh peneroka-peneroka sendiri. Tidak ada sebab Felda cuba berdolak-dalih dan cuba mengenakan syarat-syarat yang tidak munasabah sebelum mengembalikan dana itu kepada peneroka-peneroka yang terlibat.
Peguam-peguam dari Pakatan Rakyat yang kini semakin bertambah bilangannya bersedia memberikan khidmat kepada peneroka-peneroka yang mempunyai tuntutan yang hak kepada Felda.
Terserah kepada Felda samada mahu dikalahkan di Mahkamah atau membuat bayaran sebelum dimalukan di Mahkamah!
facebook Comments

711 peneroka Jengka saman Felda RM344 juta

711 peneroka Jengka saman Felda RM344 juta

TEMERLOH, 17 Jun 2011 : Seramai 711 peneroka dari kawasan Felda Jengka, Pahang akan memfailkan saman terhadap Felda, menuntut ganti rugi sebanyak RM344 juta berikutan penipuan dan pecah amanah yang dilakukan agensi itu.
Peneroka terbabit diwakili peguam Sivarasa Rasiah menerusi Ms Daim & Gamany akan memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Temerloh pagi ini dengan menamakan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defenden.
Pengerusi Biro Felda Kebangsaan dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, saman itu berhubung penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG) yang diterima mereka sejak 15 tahun lalu.
Menurut Suhaimi, peneroka terbabit menerima KPG yang rendah dari nilai sebenar iaitu antara 17 hingga 18 peratus.
Beliau berkata, peneroka berkenaan sepatutnya memperoleh KPG lebih tinggi sehingga boleh mencapai ke tahap 32 peratus sekiranya mengikut piawaian Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Setiap 1 peratus KPG dianggar bernilai RM40.
Sekiranya jumlah itu dikira sejak 10 tahun lalu, kata Suhaimi, setiap peneroka terbabit mengalami kerugian tidak kurang RM100,000.
“Kerugian yang ditanggung peneroka dalam tempoh 10 tahun tidak kurang 1,000 sebulan.
“Ini tidak termasuk kes buah kelapa sawit yang dibuang oleh kilang Felda dengan alasan buah kelapa sawit yang mereka hantar mengkal dan muda. Tetapi apabila dihantar ke makmal, ia boleh mencapai 21 hingga 22 peratus KPG,” kata Suhaimi.
Suhaimi berkata, saman tersebut sebagai peringatan kepada Felda kerana lebih banyak saman akan menyusul, ekoran keengganan agensi itu untuk berunding dengan peneroka.
Tambah beliau, selain isu KPG, Felda kini bakal berdepan ratusan saman peneroka berikutan kegagalan agensi itu membayar wang tabung tanam semula kepada sebahagian 25,000 peneroka Felda yang mengusahakan tanaman mereka sendiri.
“Berdasarkan siri lawatan kita ke seluruh negara, dalam isu KPG dan dana tabung tanam semula, sekiranya Felda masih enggan berunding, beratus saman akan dikemukakan peneroka kepada Felda,” ujarnya.
Pada 14 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan Felda membayar RM1.2 juta kepada peneroka Felda Kemahang 1 dan 2, selepas gagal membayar semula wang caruman yang disimpan peneroka di bawah tabung wang tanam semula yang diurus agensi itu.
Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan sebanyak RM11 juta kerana menipu peneroka berhubung isu KPG.
Sebelum ini, Felda Serting dan Gugusan Raja Alias di Negeri Sembilan juga memfailkan saman sebanyak RM200 juta ke atas lembaga tanah berkenaan dalam isu yang sama.Pada 12 Jun tahun lalu pula 654 peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis memfailkan saman terhadap Felda bagi menuntut ganti rugi lebih RM80 juta.
facebook Comments

Wednesday, June 15, 2011

Enggan runding, Felda akan berdepan lebih 100 saman peneroka- Suhaimi

Enggan runding, Felda akan berdepan lebih 100 saman peneroka- Suhaimi

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2011 : Pengerusi Biro Felda Kebangsaan dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, Felda akan berdepan lebih banyak saman dari peneroka sekiranya agensi itu masih enggan berunding dan memberikan hak kepada mereka.
Menurutnya, Felda kini berdepan dua isu besar iaitu berhubung bayaran dana tanam semula dan isu penipuan Kadar Perahan Gred (KPG) yang rendah.
Isu bayaran dana tanam semula, kata Suhaimi, dihadapi sebahagian kira-kira 25,000 peneroka Felda di seluruh negara yang tidak lagi menyertai Felda dan mengusahakan tanaman mereka sendiri.
Sebahagian mereka masih tidak menerima bayaran tersebut yang berjumlah RM17,000 dan disimpan peneroka kira-kira 20 tahun selama menduduki tanah rancangan.
“Kita masih ajak Felda berunding dengan peneroka, supaya Felda membayar duit caruman peneroka kepada Felda untuk dana tanam semula. Duit tanam semula hendaklah dikembalikan kepada peneroka seramai 25,000 peneroka yang tanam sendiri. Tetapi Felda payah sangat untuk diajak berunding.
“Kita bukan sengaja nak saman, tapi bila diajak berunding, Felda tak mahu berunding. Apabila peneroka saman, Felda menyatakan peneroka tidak mengenang budi,” katanya yang juga anak jati Felda, peguam dan aktivis yang memperjuangkah hak peneroka sejak 1970 an.
Beliau mengulas Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam yang mengarahkan Felda membayar RM1.2 juta kepada peneroka Felda Kemahang 1 dan 2.
Kes tersebut difailkan 131 peneroka Felda menerusi peguam Wan Rohaimi Wan Daud yang sebelum ini gagal mendapat semula wang caruman mereka di bawah tabung wang tanam semula yang diuruskan Felda.
Menurut Suhaimi, selain isu wang caruman tersebut, Felda turut berdepan tindakan saman dari peneroka Felda dalam isu KPG sekiranya pengurusan Felda masih tidak membayar nilai yang diselewengkan mereka.
Terbaru, katanya kira-kira 700 peneroka dari kawasan Jengka, Pahang akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, pada 17 Jun ini berhubung isu tersebut.
Menurut Suhaimi, sekiranya dua isu iaitu bayaran dana tanam semula dan KPG digabungkan, Felda akan berdepan saman peneroka di ratusan tanah rancangan seluruh negara.
“Beratus rancangan Felda di negeri Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Perak yang terlibat dalam isu ini dan kita anggar lebih seratus telah menyenaraikan untuk tindakan saman,” ujarnya.
Dalam pada itu, dalam usaha memberi maklumat dan mengumpul aduan dari peneroka, Biro Felda Kebangsaan KEADILAN akan mengadakan siri jelajah ke Selangor, Kedah, Perlis, Sabah dan Terengganu.
“Di samping memberi maklumat kita juga mahu mengumpul aduan peneroka di negeri-negeri ini,” ujar beliau.
Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan sebanyak RM11 juta kerana menipu peneroka berhubung KPG.
Sebelum ini, Felda Serting dan Gugusan Raja Alias juga memfailkan saman sebanyak RM200 juta ke atas lembaga tanah berkenaan dalam isu yang sama.
Pada 12 Jun tahun lalu pula 654 peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis memfailkan saman terhadap Felda bagi menuntut ganti rugi lebih RM80 juta.
facebook Comments