Wednesday, September 21, 2011

Generasi muda Felda keliru

Generasi muda Felda keliru



Sinar Harian (21/09/2011) :

FELDA SEBERTAK – Anak peneroka dan generasi muda Felda keliru apabila menerima borang permohonan tanah Felda Plantation yang dikeluarkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Borang berkenaan diedarkan baru-baru ini oleh wakil persatuan itu di setiap tanah rancangan, di sini.

Ramlan Muah, 43, berkata, setelah menerima dan meneliti isi kandungan pada borang terbabit, ramai dalam kalangan generasi kedua Felda ragu-ragu sama ada untuk mengisinya atau tidak.

“Jika betul Felda mempunyai tanah untuk kami (generasi kedua), kami bersyukur. Tapi jika tidak betul, janganlah buat kami mengharap.

“Atau sebenarnya tujuan mereka (Anak) berbuat demikian semata-mata untuk memancing pengundi di Felda ini?” katanya kepada Sinar Harian.

Ramlan berkata, walaupun sebelum ini Felda pernah memaklumkan mereka tidak mempunyai tanah bagi generasi kedua, tetapi apabila keluarnya borang berkenaan, ia sedikit sebanyak menggugat kepercayaannya.

Katanya, jika perkara itu benar dan dia tidak mengisi borang tersebut, sudah tentu akan merugikan diri dan keluarganya.

Azmi Abu Hassan, 17, berkata, bukan semua generasi muda Felda menerima borang berkenaan.

Menurutnya, hanya mereka yang berumur 21 tahun ke atas dan layak mengundi sahaja yang menerimanya.

“Saya yakin, bagi golongan belia bawah 21 tahun tidak menerima borang itu. Mungkin, jika kami mengisi borang itu tidak memberi sebarang keuntungan kepada Anak.

“Sedangkan, sebagai anak peneroka dan sekiranya perkara itu benar, seharusnya kami juga layak memohon demi masa depan kami,” katanya.

Bagi sukarelawan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Rosli Abu Kassim, tindakan Anak itu sekadar mengelirukan anak-anak peneroka yang sememangnya mahu memiliki tanah untuk dijadikan tempat berlindung.

Menurutnya, Anak tidak wajar berbuat demikian kerana Felda tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan membuka tanah kepada generasi kedua Felda.

“Sememangnya dari dahulu lagi, Anak cuba menghuru-harakan keadaan dalam tanah rancangan terutamanya dalam kalangan generasi muda Felda.

“Setahu saya, Felda tidak pernah melantik mana-mana agensi atau persatuan untuk mengeluarkan borang bagi permohonan tanah Felda Plantation di negeri ini,” katanya.

Beliau berharap, generasi kedua tidak termakan pujukan Anak dengan mengisi borang berkenaan, sementara bagi mereka yang telah mengisi dan menyerahkan borang itu diharap tidak terlalu mengharap.
facebook Comments

1 comments:

IPS said...
This comment has been removed by the author.

Post a Comment