Wednesday, September 21, 2011

304 Peneroka Saman Peguam

Tidak puas hati dengan pembahagian wang menang saman RM12 juta

Utusan Malaysia (19/09/2011) :
oleh Mohd. Firdaus Ismail - pengarang@utusan.com.my

Kuala Lumpur 19 Sept. - Seramai 304 dari 354 peneroka Felda Kemahang, Tanah Merah, Kelantan bertindak menyaman peguam yang mewakili mereka dalam kes saman kumpulan itu terhadap Felda sebelum ini.

Jurucakap Felda memberitahu, saman itu disebut di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam kerana kumpulan itu tidak berpuas hati dengan pembahagian wang RM12 juta yang dimenangi dalam saman terhadap badan itu.

"Kos yang dibayar Felda sebelum ini adalah RM12 juta termasuk kos guaman dan sebagainya. Namun, sebahagian besar peneroka itu menyaman Firma Guaman Tetuan Wan Rohimi dan Asmadi serta ketua mereka yang membawa kes itu ke mahkamah sebelum ini."

"Saya difahamkan ada peneroka yang mendapat RM15,000, ada juga yang dibayar RM17,000 walaupun jumlah yang sepatutnya diterima ialah RM21,000 bagi setiap peneroka berkenaan,"  katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, ekoran itu timbul perasaan tidak puas hati kerana ada peneroka kumpulan itu yang meninggal dunia tidak mendapat bahagian tetapi muncul nama lain secara tiba-tiba.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada 354 peneroka tersebut berhubung urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Keputusan itu dibuat selepas firma guaman yang mewakili Felda tidak hadir dalam prosiding yang sepatutnya ditetapkan untuk menyambung perbicaraan.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab pula ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Felda di Restoran Felda Villa sini hari ini berkata, beliau mengetahui perkara itu, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Saya tahu mengenai kes saman itu namun adalah lebih baik untuk tidak memberi sebarang komen buat masa ini kerana kerana menghormati mahkamah."

Menurutnya, Felda tidak pernah menutup ruang untuk bekerjasama dengan bekas peneroka.

"Felda bersedia membantu mereka sekiranya ingin kembali ke pangkuan Felda, malah sebelum ini kita tetap membantu mereka termasuk membeli hasil ladang kumpulan itu," katanya.
facebook Comments

0 comments:

Post a Comment