Monday, December 27, 2010

Tipu Kadar Perahan Gred: Lebih 400 peneroka fail saman Felda

Tipu Kadar Perahan Gred: Lebih 400 peneroka fail saman Felda

KUALA LUMPUR, 27 Disember 2010 : Seramai lebih 400 peneroka sekitar Felda Gugusan Jengka, Pahang menyerahkan Borang Waran Untuk Bertindak kepada peguam bagi mengemukakan saman terhadap Felda berhubung manipulasi peratusan Kadar Perahan Gred (KPG).
Pengerusi Biro Felda KEADILAN Pusat, Suhaimi Said berkata, seramai 307 peneroka sekitar Kilang Sawit Felda Jengka 3  menyerahkan borang tersebut pada satu pertemuan anjuran KEADILAN Pahang, 25 Disember lalu.
Turut mengambil tindakan sama 106 peneroka dari Felda Jengka 9.
“Sejak sekian lama, peneroka hanya diberikan sekadar 18% hingga 19% sahaja KPG. Satu peratus perahan KPG yang dinafikan, bermakna pendapatan mereka susut di antara RM20 hingga RM40 bagi setiap tan.
“Ini menyebabkan peneroka kerugian RM200 hingga RM500 setiap bulan semenjak 20 tahun lalu dan ini satu jumlah yang besar,” kata Suhaimi dipetik dari laman blognya.
Menurut Suhaimi, semenjak peneroka berusaha untuk menyaman Felda bagi memperbetulkan peratus perahan KPG ini, Felda telah menaikkan peratusan itu hingga 21 peratus.
“Ini bukti bahawa Felda telah memanipulasi peratusan perahan KPG dan menyebabkan kerugian kepada peneroka.
“Peneroka juga telah dimanipulasi berhubung ‘buah sawit muda, buah mengkal dan tangkal panjang’.
“Setiap bulan, hampir 60 tan buah kategori ini dikeluarkan dari timbangan dan peneroka terbabit didenda kerana membawa buah-buah kategori tersebut,” katanya.
Tambah Suhaimi, bukti yang diperolehi juga menunjukkan buah jenis itu yang kononnya dimusnahkan Kilang Sawit Felda sebenarnya diproses tetapi manfaatnya tidak diserah kepada peneroka.
“Dalam tempoh 20 tahun, setiap peneroka Felda mengalami kerugian tidak kurang daripada (RM) 20,000 hingga ke (RM)50,000.
Justeru, Suhaimi menegaskan tindakan saman adalah perkara wajar diambil peneroka bagi mengembalikan hak mereka yang ditindas dan dipermainkan sebegitu lama oleh pentadbiran Felda.
“Jumlah ini dijangka bertambah. Peneroka Felda Jengka 1, Ulu Jempol dan Jengka 11 akan turut menyerahkan Borang Waran Untuk Bertindak dalam tempoh terdekat.
“Adakah Felda fikir bahawa penipuan ini akan dibiarkan begitu sahaja oleh peneroka-peneroka?” soal Suhaimi.
facebook Comments

0 comments:

Post a Comment