Dana Tanam Semula – Mengapa Felda masih enggan membayarnya?
Suhaimi Said, 17 Jun 2011 :Setiap peneroka Felda telah memikul tanggungjawab untuk menyediakan dana tanam semula dengan membayar RM4.00 setiap satu ekar melalui Felda sebagai dana tanam semula setiap bulan.
Kebanyakan peneroka Felda memiliki 10 ekar tanah ladang, ada juga yang memiliki 14 ekar dan sesetengahnya hanya memiliki 8 ekar. Bagi mereka yang memiliki 10 ekar, maka caruman mereka untuk dana tanam semula adalah RM40.00 sebulan dan apabila mereka membuat caruman itu melalui potongan pendapatan mereka, Felda menjanjikan akan mengembalikan semula RM17,000.00 apabila peneroka-peneroka mahu menanam semula.
Jika peneroka-peneroka itu memilih untuk menanam sendiri dan tidak melalui Felda, maka Felda hendaklah mengembalikan dana sejumlah RM17,000.00 itu kepada peneroka-peneroka. Dan jika sekiranya mereka menanam semula melalui Felda, Felda tidak mengembalikan dana itu digunakan untuk kos tanam semula.
Apa yang dilakukan oleh Felda terhadap dana itu jika peneroka-peneroka tanam melalui Felda tidaklah diketahui kerana Felda tidak pernah menyediakan Penyata Kira-Kira. Entahkan wang itu digunakan untuk kos tanam semula atau pun tidak hanyalah diketahui oleh Felda, dan peneroka-peneroka Felda tidak pernah diberitahu.
Tetapi Felda sudah cuba memanipulasikan dana itu kerana gagal mengembalikan dana tanam semula itu kepada peneroka-peneroka yang tanam sendiri. Tuntutan demi tuntutan secara rundingan telah dibuat oleh peneroka-peneroka tanam sendiri bagi mendapatkan kembali dana tanam semula itu tetapi tetapi tidak berjaya. Macam-macam kerenah yang dibuat oleh Felda untuk mengelak dari membayar dana tanam semula itu.
Didalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan, Mahkamah telah memerintahkan supaya Felda membayar kembali dana tanam semula itu kepada 10 orang Peneroka di Felda Sg Koyan, dan peneroka-peneroka lain yang tidak membuat tuntutan Mahkamah masih juga tidak dibayar oleh Felda.
Sekali lagi pada hari semalam Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda membayar kepada peneroka-peneroka Kemahang 1 dan 2 Kelantan sejumlah RM1.2 juta ringgit dari dana tanam semula ini.
Kini, peneroka-peneroka di rancangan-rancangan Felda di Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Pahang dan Negeri Perak sedang mengumpulkan senarai-senarai peneroka-peneroka yang terlibat menanam sendiri tetapi masih belum menerima bayaran dana tanam semula dari Felda.
Jalan yang terbaik bagi Felda ialah menjelaskan bayaran secepat mungkin kepada peneroka-peneroka yang terlibat menanam sendiri tetapi masih dinafikan dana tanam semula ini untuk mengelakkan Felda dari menanggung malu apabila Mahkamah-Mahkamah Tinggi di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak memerintahkan Felda membuat bayaran kepada peneroka-peneroka.
Felda tidak perlu bersikap babil, bebal dan cerdik-bodoh; peneroka-peneroka bukan menuntut perkara-perkara diluar hak mereka. Dana tanam semula adalah caruman yang dibuat oleh peneroka-peneroka sendiri. Tidak ada sebab Felda cuba berdolak-dalih dan cuba mengenakan syarat-syarat yang tidak munasabah sebelum mengembalikan dana itu kepada peneroka-peneroka yang terlibat.
Peguam-peguam dari Pakatan Rakyat yang kini semakin bertambah bilangannya bersedia memberikan khidmat kepada peneroka-peneroka yang mempunyai tuntutan yang hak kepada Felda.
Terserah kepada Felda samada mahu dikalahkan di Mahkamah atau membuat bayaran sebelum dimalukan di Mahkamah!
0 comments:
Post a Comment