253 lagi peneroka Jengka saman Felda
PAHANG, 27 Julai 2011 : Seramai 253 lagi peneroka di kawasan Felda Jengka, Pahang akan memfailkan saman dan menuntut ganti rugi terhadap Felda kerana manipulasi dan penipuan yang dilakukan agensi itu terhadap mereka.
Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, dengan tambahan itu, jumlah peneroka Felda Jengka yang memfailkan saman mereka meningkat kepada 964 orang.
Katanya, setiap peneroka menuntut RM458,000 kerugian yang ditanggung sejak 15 tahun lalu, berhubung penipuan Kadar Gred Perahan Asas (OER) buah kelapa sawit yang lebih rendah dari nilai asal.
Ia termasuk tindakan Felda Palm Industries yang tidak mengira hasil tandan kelapa sawit peneroka yang dihantar kepada pengilang itu, dengan alasan buah kepala sawit muda dan mengkal.
Sementara itu Suhaimi dalam blognya berkata, Pengurus dan pegawai-pegawai dari beberapa Pejabat Felda di sekitar Jengka sedang giat menjalankan kempen mengugut peneroka Felda yang memfailkan saman mereka seperti di Felda Jengka 8, Jengka 3 dan Jengka 18.
Di antara ugutan yang digunakan ialah penafian kepada peneroka-peneroka itu ke atas bonus tahunan dan “duit raya,” kata Suhaimi yang peguam dan aktivis peneroka sejak 1970 an.
“Namun peneroka-peneroka tidak mempedulikan ugutan ini kerana sejak mereka memulakan tindakan menyaman Felda, peratusan perahan KPG mereka telah berjaya dinaikkan dari 18% kepada 21%, dan kenaikan ini sudah melebihi bonus tahunan dan hari raya yang boleh mereka terima,” katanya.
Pada 17 Jun lalu, seramai 711 peneroka rancangan Jengka memfailkan saman sebanyak RM344 juta terhadap Felda berhubung dakwaan penipuan dan pecah amanah.Felda sebelum ini turut disaman di Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan tuntutan mereka, peneroka berkenaan mendakwa mereka sejak 15 tahun lalu dibayar mengikut OER yang rendah dengan purata 18.5 peratus.
Namun kadar sebenar OER didapati lebih tinggi apabila mereka menghantar contoh rawak hasil buah kelapa sawit kepada makmal bebas untuk menilai kadar sebenar.
Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadar purata lebih tinggi sebanyak 27 peratus, yang bermaksud perbezaan purata 8.5 peratus berbanding kadar yang digunakan oleh Felda Palm Industries.
Dengan perbezaan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30,912 bagi tahun 2008 sahaja.
0 comments:
Post a Comment