Monday, December 27, 2010

Tipu Kadar Perahan Gred: Lebih 400 peneroka fail saman Felda

Tipu Kadar Perahan Gred: Lebih 400 peneroka fail saman Felda

KUALA LUMPUR, 27 Disember 2010 : Seramai lebih 400 peneroka sekitar Felda Gugusan Jengka, Pahang menyerahkan Borang Waran Untuk Bertindak kepada peguam bagi mengemukakan saman terhadap Felda berhubung manipulasi peratusan Kadar Perahan Gred (KPG).
Pengerusi Biro Felda KEADILAN Pusat, Suhaimi Said berkata, seramai 307 peneroka sekitar Kilang Sawit Felda Jengka 3  menyerahkan borang tersebut pada satu pertemuan anjuran KEADILAN Pahang, 25 Disember lalu.
Turut mengambil tindakan sama 106 peneroka dari Felda Jengka 9.
“Sejak sekian lama, peneroka hanya diberikan sekadar 18% hingga 19% sahaja KPG. Satu peratus perahan KPG yang dinafikan, bermakna pendapatan mereka susut di antara RM20 hingga RM40 bagi setiap tan.
“Ini menyebabkan peneroka kerugian RM200 hingga RM500 setiap bulan semenjak 20 tahun lalu dan ini satu jumlah yang besar,” kata Suhaimi dipetik dari laman blognya.
Menurut Suhaimi, semenjak peneroka berusaha untuk menyaman Felda bagi memperbetulkan peratus perahan KPG ini, Felda telah menaikkan peratusan itu hingga 21 peratus.
“Ini bukti bahawa Felda telah memanipulasi peratusan perahan KPG dan menyebabkan kerugian kepada peneroka.
“Peneroka juga telah dimanipulasi berhubung ‘buah sawit muda, buah mengkal dan tangkal panjang’.
“Setiap bulan, hampir 60 tan buah kategori ini dikeluarkan dari timbangan dan peneroka terbabit didenda kerana membawa buah-buah kategori tersebut,” katanya.
Tambah Suhaimi, bukti yang diperolehi juga menunjukkan buah jenis itu yang kononnya dimusnahkan Kilang Sawit Felda sebenarnya diproses tetapi manfaatnya tidak diserah kepada peneroka.
“Dalam tempoh 20 tahun, setiap peneroka Felda mengalami kerugian tidak kurang daripada (RM) 20,000 hingga ke (RM)50,000.
Justeru, Suhaimi menegaskan tindakan saman adalah perkara wajar diambil peneroka bagi mengembalikan hak mereka yang ditindas dan dipermainkan sebegitu lama oleh pentadbiran Felda.
“Jumlah ini dijangka bertambah. Peneroka Felda Jengka 1, Ulu Jempol dan Jengka 11 akan turut menyerahkan Borang Waran Untuk Bertindak dalam tempoh terdekat.
“Adakah Felda fikir bahawa penipuan ini akan dibiarkan begitu sahaja oleh peneroka-peneroka?” soal Suhaimi.
facebook Comments

Tuesday, December 7, 2010

Anwar Mula Melihat Potensi Peneroka Sebagai Soldadu PR

Anwar mulakan kempen peneroka saman Felda
Written by Hafiz Baqi   
KAJANG, 7 Dis 2010 : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan kempen peneroka saman Felda dalam satu himpunan bertemu peneroka di Bera, Pahang pada 17 Disember ini.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, pihaknya menganjurkan program tersebut yang turut disertai Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pesiapan kepada para peneroka yang bakal mengambil tindakan itu (saman Felda) sekiranya tuntutan mereka tidak diberi perhatian.
Dijangka lebih 1,000 yang sudah bersedia untuk menyaman Felda akan hadir dalam majlis tersebut.
"Peneroka akan diberi penerangan mengapa perlunya tindakan saman ini supaya semuanya mengambil tindakan sama," ujar beliau Majlis Makan Malam Rakyat Marhaen di Stadium Kajang, malam tadi.
Kata Mazlan, Pahang merupakan negeri teramai peneroka yang menyatakan bersedia betindak demikian iaitu sekitar 4,000 orang.
Sebelum ini Harakahdaily melaporkan kenyataan Mazlan yang yakin sekurang-kurangnya 5,000 peneroka akan ke mahkamah untuk menyaman Felda atas dakwaan melakukan penipuan.
"Sebahagian besarnya daripada Pahang kerana negeri itu paling banyak Felda di  Semenanjung," katanya Mazlan dalam majlis tersebut di hadapan lebih 2,000 orang yang hadir.
Saman besar-besaran peneroka ke atas Felda  bergantung kepada dua tuntutan kepada kerajaaan yang diberi tempoh untuk diselesaikan sehingga akhir Disember ini iaitu pembayaran wang tanam semula sebanyak RM17 ribu kepada peneroka yang masih belum menerima pembayaran tersebut dan pengredan perahan buah kelapa sawit dinaikkan kepada 23 peratus daripada sekitar 18 hingga19 peratus ketika ini.
Kedua-dua tuntutan itu dikemukan berdasarkan keputusan mahkamah masing-masing melibatkan peneroka Felda Sungai Koyan, Pahang dan Felda Sungai Kemahang, Kelantan.
Dalam kes peneroka Felda Sungai Koyan, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan kerajaan perlu bayar RM1,700 seekar kepada peneroka untuk tanam semula manakala kes peneroka Sungai Kemahang terbukti berlaku manipulasi penggredan perahan buah sawit yang merugikan peneroka.
Sementara itu, alumni kakitangan Felda yang ditubuhkan beberapa bulan lalu untuk memantapkan perjuangan menuntut hak para peneroka telah dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar atas).
Badan itu akan berganding dengan Anak, sebuah pertubuhan yang agresif menuntut hak-hak peneroka daripada Felda serta beberapa pertubuhan lagi yang bakal ditubuhkan untuk membentuk jaringan badan bukan kerajaan khusus menangani isu-isu berkaitan tanah rakyat serta tanah-tanah  rancangan seperti Felda, Felcra dan Risda.
Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, kumpulan yang terdiri daripada bekas pegawai-pegawai Felda ini akan sama-sama turun bertemu rakyat untuk menerangkan penyelewengan-penyelewengan yang berlaku dalam Felda.
Selain itu kata Mazlan, kumpulan tersebut berperanan sebagai penasihat disamping memberi input-input berguna kepada Anak bagi memastikan tindakan-tindakan yang diambil memberi kesan semaksimumnya.
"Mereka sangat arif tentang penyelewengan dan penipuan Felda ke atas peneroka, malah ada antara mereka yang terlibat waktu bertugas dahulu kerana terpaksa (di arahkan) dan kini mereka mahu menebus kembali," katanya.
Turut bersama dalam majlis yang bermula dengan makan malam di Stadium Kajang itu termasuklah para peneroka dan rakyat tertindas daripada Sabah dan Sarawak.
Dalam majlis itu Pengerusi Alumni Bekas Pegawai Felda, Khamis Saat telah menyerahkan 50 borang penyertaan rakan-rakannya yang terdiri daripada bekas pegawai-pegawai Felda kepada Abdul Hadi.
"Dalam masa beberapa bulan lagi mereka mensasarkan 200 hingga 300 pegawai - pegawai Felda yang telah bersara menyertai gabungan ini," ujar Mazlan.
facebook Comments

Wednesday, April 21, 2010

Felda Bebankan Peneroka Dengan Hutang Hingga Akhir Hayat

Felda Bebankan Peneroka Dengan Hutang Hingga Akhir Hayat

Malaysia Today (21/04/2010) :
 
(Suara Keadilan) Penubuhan Felda 54 tahun dahulu yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat Melayu miskin dan berpendapatan rendah melalui pemberian lot tanah rumah dan ladang kini dilihat menjadi alat korporat yang telah memiskinkan rakyat.
Felda kini telah menjadi konglomerat bertaraf dunia yang telah tersasar daripada tujuan asal penubuhannya.
Menurut Pengerusi Biro Felda KEADILAN, Suhaimi Said antara dasar yang telah memberi kesan yang mendalam kepada peneroka Felda ialah skim penanaman semula melalui sebuah anak syarikat bernama Felda technoplant Sdn Bhd.
Di bawah dasar ini peneroka dihalang daripada menanam semula secara persendirian tanpa seliaan Felda Technoplant yang menyebabkan peneroka akhirnya terpaksa menanggung hutang tanpa kerelaan mereka sendiri.
Suhaimi berkata peneroka tidak ada pilihan melainkan menyerahkan tanggungjawab penanaman semula kepada Felda Technoplant.
Melalui rancangan ini peneroka diberi wang sara hidup setiap bulan bagi menampung kos tanaman mereka sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.
“Dasar yang digunapakai oleh Felda telah menyebabkan peneroka terus di himpit kemiskinan dan hutang yang belum tentu dapat dibayar oleh mereka.
“Peneroka yang telah dipaksa untuk menanam semula kelapa sawit di bawah seliaan Felda Technoplant diberikan wang sara hidup setiap bulan yang bersifat hutang sebanyak RM1,500 sehinggalah tanaman mereka berbuah. Biasanya kelapa sawit akan berbuah bila mencapai umur antara empat hingga enam tahun, keadaan ini menyebabkan hutang mereka semakin meningkat dan boleh mencecah sehingga RM60,000.
“Selain itu juga mereka ditawarkan bantuan perumahan bernilai RM40,000 dan ini menyebabkan jumlah hutang mereka meningkat hingga RM100,000. Bagaimana peneroka hendak membayar hutang yang begini banyak. Kebanyakan mereka sudah berumur 60,70 atau 80 tahun, jika mereka tidak mampu membayarnya maka hutang tersebut akan diwarisi oleh anak mereka,” jelas Suhaimi yang juga Ketua Cabang Kuala Krau.
Suhaimi yang juga seorang peguam yang telah memperjuangkan hak peneroka Felda sejak tahun 70-an lagi memberitahu jika hutang yang diwarisi oleh anak mereka juga tidak dapat diselesaikan maka tanah tersebut akan menjadi milik Felda.
“Tanah peneroka yang berhutang dengan Felda akan disekat dan peneroka tidak boleh melakukan apa-apa tindakan ke atas tanah tersebut. Jika anak peneroka tidak dapat menjelaskan hutang tersebut maka tanah itu akan menjadi milik Felda.
“Apa yang kita tekankan di sini ialah jika peneroka yang tanam semula secara sendiri boleh mencapai pendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan kenapa peneroka yang memilih tanam semula melalui Felda hanya menerima RM1,500 sahaja, perbezaan tersebut sangat besar dan kenapa tidak terus ditolak daripada hutang mereka.
“Ketika harga kelapa sawit melambung tinggi peneroka persendirian mampu memperolehi pendapatan antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan tetapi peneroka di bawah skim Felda Technoplant Felda tetap mendapat RM1,500 sebulan. Felda tidak pernah mengeluarkan penyata hutang peneroka untuk ditelitikan jumlah pembayaran yang telah mereka lakukan.
“Sebab itulah kita menuntut agar Felda beri kebebasan kepada peneroka untuk membuat pilihan samada mahu tanam sendiri atau pun mengikut Felda. Tetapi dasar sekarang mereka tidak mahu memberi kebebasan tersebut kerana mereka ingin memerah keringat peneroka untuk kepenting mereka sendiri dan juga politik Umno,” jelasnya lagi.
facebook Comments