Felda Bebankan Peneroka Dengan Hutang Hingga Akhir Hayat
Malaysia Today (21/04/2010) :(Suara Keadilan) Penubuhan Felda 54 tahun dahulu yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat Melayu miskin dan berpendapatan rendah melalui pemberian lot tanah rumah dan ladang kini dilihat menjadi alat korporat yang telah memiskinkan rakyat.
Felda kini telah menjadi konglomerat bertaraf dunia yang telah tersasar daripada tujuan asal penubuhannya.
Menurut Pengerusi Biro Felda KEADILAN, Suhaimi Said antara dasar yang telah memberi kesan yang mendalam kepada peneroka Felda ialah skim penanaman semula melalui sebuah anak syarikat bernama Felda technoplant Sdn Bhd.
Di bawah dasar ini peneroka dihalang daripada menanam semula secara persendirian tanpa seliaan Felda Technoplant yang menyebabkan peneroka akhirnya terpaksa menanggung hutang tanpa kerelaan mereka sendiri.
Suhaimi berkata peneroka tidak ada pilihan melainkan menyerahkan tanggungjawab penanaman semula kepada Felda Technoplant.
Melalui rancangan ini peneroka diberi wang sara hidup setiap bulan bagi menampung kos tanaman mereka sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.
“Dasar yang digunapakai oleh Felda telah menyebabkan peneroka terus di himpit kemiskinan dan hutang yang belum tentu dapat dibayar oleh mereka.
“Peneroka yang telah dipaksa untuk menanam semula kelapa sawit di bawah seliaan Felda Technoplant diberikan wang sara hidup setiap bulan yang bersifat hutang sebanyak RM1,500 sehinggalah tanaman mereka berbuah. Biasanya kelapa sawit akan berbuah bila mencapai umur antara empat hingga enam tahun, keadaan ini menyebabkan hutang mereka semakin meningkat dan boleh mencecah sehingga RM60,000.
“Selain itu juga mereka ditawarkan bantuan perumahan bernilai RM40,000 dan ini menyebabkan jumlah hutang mereka meningkat hingga RM100,000. Bagaimana peneroka hendak membayar hutang yang begini banyak. Kebanyakan mereka sudah berumur 60,70 atau 80 tahun, jika mereka tidak mampu membayarnya maka hutang tersebut akan diwarisi oleh anak mereka,” jelas Suhaimi yang juga Ketua Cabang Kuala Krau.
Suhaimi yang juga seorang peguam yang telah memperjuangkan hak peneroka Felda sejak tahun 70-an lagi memberitahu jika hutang yang diwarisi oleh anak mereka juga tidak dapat diselesaikan maka tanah tersebut akan menjadi milik Felda.
“Tanah peneroka yang berhutang dengan Felda akan disekat dan peneroka tidak boleh melakukan apa-apa tindakan ke atas tanah tersebut. Jika anak peneroka tidak dapat menjelaskan hutang tersebut maka tanah itu akan menjadi milik Felda.
“Apa yang kita tekankan di sini ialah jika peneroka yang tanam semula secara sendiri boleh mencapai pendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan kenapa peneroka yang memilih tanam semula melalui Felda hanya menerima RM1,500 sahaja, perbezaan tersebut sangat besar dan kenapa tidak terus ditolak daripada hutang mereka.
“Ketika harga kelapa sawit melambung tinggi peneroka persendirian mampu memperolehi pendapatan antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan tetapi peneroka di bawah skim Felda Technoplant Felda tetap mendapat RM1,500 sebulan. Felda tidak pernah mengeluarkan penyata hutang peneroka untuk ditelitikan jumlah pembayaran yang telah mereka lakukan.
“Sebab itulah kita menuntut agar Felda beri kebebasan kepada peneroka untuk membuat pilihan samada mahu tanam sendiri atau pun mengikut Felda. Tetapi dasar sekarang mereka tidak mahu memberi kebebasan tersebut kerana mereka ingin memerah keringat peneroka untuk kepenting mereka sendiri dan juga politik Umno,” jelasnya lagi.